Friday 22 November 2013

Messi hambur pujian kepada Ronaldo

Bintang Barcelona, Lionel Messi, menghamburkan pujian kepada Cristiano Ronaldo ekoran persembahan cemerlang beliau menjaringkan gol bagi membantu Portugal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia di Brazil tahun depan.




Superstar bola sepak berasal dari Argentina itu mengeluarkan penghormatan tersebut dalam satu temu ramah yang disiarkan semalam di tengah-tengah spekulasi yang meningkat bahawa Ronaldo bakal dipilih sebagai Pemain Terbaik Dunia.
Sehari selepas menerima anugerah Kasut Emas kerana menjaringkan 46 gol dalam pertandingan liga musim lalu - jumlah paling banyak di kalangan semua pemain di Eropah - Messi, 26 tahun, tidak lupa memuji pesaingnya dari pasukan Real Madrid itu.
"Saya tidak tahu sama ada Ronaldo berada pada tahap permainan terbaiknya tetapi beliau sentiasa menjaringkan gol dalam semua perlawanan sama ada ketika mewakili kelab atau beraksi untuk pasukan negaranya," kata Messi kepada akhbar harian Sepanyol, Marca, dan beberapa wartawan sukan Eropah lain.




"Beliau melakukan perkara sama selama beberapa tahun dan persoalan sama ada beliau berada di puncak atau hampir kepadanya tidak banyak berbeza."
Dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan sejak kebelakangan ini, Ronaldo, 28 tahun, kini muncul sebagai pilihan memenangi anugerah Ballon d'Or tahun ini untuk mengatasi Messi, yang memenanginya empat kali berturut-turut sebelum ini.
Ronaldo menjaringkan hatrik Selasa lalu untuk membantu Portugal menyingkirkan Sweden daripada persaingan ke Brazil pada Jun depan.
Dalam perlawanan yang disifatkan sebagai pertembungan dua superstar bola sepak - Ronaldo dengan Zlatan Ibrahimovic - itu, Ronaldo menjaringkan keempat-empat gol, termasuk satu dalam perlawanan perlawanan pertama. Ibrahimovic pula menjaringkan kededua gol Sweden.
Selain itu, Ronaldo juga mendahului senarai penjaring terbanyak dalam La Liga Sepanyol dengan 16 gol dalam 13 perlawanan. Messi pula menjaringkan 11 gol dalam lapan perlawanan tetapi terpaksa berehat selama lapan minggu kerana kecederaan otot paha kirinya

No comments:

Post a Comment