Tuesday 29 October 2013

Marmaray satukan wilayah Asia dan Eropah

Turkey akan mendedahkan terowong bawah laut pertama yang menghubungkan dua benua, menyempurnakan impian seorang sultan 150 tahun yang lalu.
Namun, pembukaan terowong itu hari ini juga mencetuskan sentimen antipemerintah terhadap projek mega sedemikian baru-baru ini.


              Peta menunjukkan pelan Terowong MARMARAY merentasi Selat Bosphorus

"Nenek moyang kita memikirkannya (Projek Marmaray). Terpulang kepada kita untuk merealisasikannya," kata Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyip Erdogan, tentang terowong kereta api di bawah Selat Bosphorus, yang menghubungkan bahagian Asia dan Eropah bandar Istanbul itu.
Projek berani itu pertama kali diimpikan sultan Empayar Usmaniyah, Sultan Abdoul Medjid, pada 1860 tetapi beliau tidak mempunyai kepakaran atau dana untuk mengembangkan ideanya.
Encik Erdogan, mantan datuk bandar Istanbul, menghidupkan semula rancangan itu pada 2004 sebagai salah satu projek pembinaan hebatnya bagi bandar Istanbul yang turut merangkumi pembinaan lapangan terbang ketiga, terusan selari dan jambatan ketiga - kesemuanya dikecam sebagai "bersifat bak Firaun" oleh pengkritiknya.



                                             MARMARAY dalam pembinaan
Cita-cita Erdogan itu mencetuskan tunjuk perasaan antipemerintah besar-besaran yang melanda Turkey Jun lalu dengan penduduk tempatan mengadu bahawa rancangan pembangunan pemimpin negara itu menyebabkan penduduk diusir dari rumah mereka dan menghapuskan kawasan hijau.
Walaupun dibuka secara rasmi hari ini, terowong kereta api itu tidak akan beroperasi sepenuhnya.
"Bahagian yang beroperasi sangat terhad. Semua (bahagian lain) tertunda hingga ke tarikh lebih lewat. Kami hairan mengapa perasmian dilakukan begitu cepat," kata presiden Dewan Perancang Bandar Istanbul, Tayfun Kahraman.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, akan menghadiri perasmian itu kerana Bank Jepun merupakan pembiaya utama projek terowong itu dengan sumbangan sebanyak 735 juta euro.
Projek itu menelan belanja sekitar 3 bilion euro.
Pembinaan terowong sepanjang 1.4 kilometer di bawah Selat Bosphorus dijangka mengambil masa empat tahun tetapi tergendala setelah berlaku beberapa penemuan arkeologi utama.
Terowong itu dibina lebih 50 meter di bawah dasar laut dan berada di kawasan yang mempunyai kegiatan seismos kuat. Namun, terowong itu dipercayai tahan gempa.
Pengangkutan merupakan masalah utama di Istanbul, yang mempunyai lebih 15 juta penduduk dan setiap hari, sekitar dua juta penduduk menyeberangi Selat Bosphorus melalui dua jambatan yang sering sesak.
Mayor Istanbul kini, Kadir Topbas, percaya terowong itu bakal mengurangkan masalah kesesakan di kedua-dua jambatan yang merentangi Selat Bosphorus, dengan keupayaan terowong itu menampung 150,000 pengguna setiap jam.
"Ia adalah projek penting yang diperlukan bandar ini... ia akan mengurangkan gas rumah hijau," tambahnya lagi.

Untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang projek raksaka ini, sila rujuk laman sesawang ini.

No comments:

Post a Comment