Wednesday 22 January 2014

Amaran keras buat penyokong Johor

“Kalau tak mahu masuk lokap atau didakwa di mahkamah jangan timbulkan kekecohan.”

Itu amaran Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff (gambar) kepada kumpulan pengacau yang cuba menimbulkan kekecohan pada aksi Liga Malaysia (Liga-M) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, selepas ini.



Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti kumpulan pengacau dan mereka akan ditahan sekiranya sengaja menimbulkan kekecohan sama ada di dalam atau luar stadium.


Jaga disiplin

“Saya menasihatkan semua penyokong supaya mengawal diri masing-masing dan mengekalkan tahap disiplin tinggi jika tidak mahu dikenakan tindakan,” katanya selepas menghadiri Persidangan ke-8 Pendakwa Raya-China dan Negara ASEAN serta Mesyuarat Ke-5 Peguam Negara Berhubung Jenayah di sini, semalam.

Sabtu lalu, segelintir penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) bertindak mengejek dan memukul penyokong Perak yang keluar dari stadium selepas menyaksikan perlawanan pertama Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan.

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) pula mendakwa bas yang dinaiki pemain dibaling suar dan cermin belakang kereta pengurus mereka, Datuk Azhar Azman turut dipecahkan.